Sabtu, Mac 26

Bahagian 11 - Si Buta Cari Cincin

Kesibukan kota raya sesekali menghiburkan Nasir. Melihat gelagat manusia-manusia melalui arus kehidupan masing-masing. Ada yang gembira. Ada yang marah. Ada yang sedih. Dan petang itu, sekali lagi Nasir menyaksikan kisah kehidupan di kota raya. Petang Jumaat menzahirkan pelbagai jenis manusia di sekitar Jalan Masjid India, terutama di bazar yang sentiasa penuh dengan manusia. Ada yang berjalan, ada yang berlari, ada yang duduk, dan tak lupa juga yang terbaring. Turun saja dari Stesen LRT, maka kelihatanlah insan-insan yang menagih simpati dari penduduk bumi. Ada yang duduk di tangga menjual tisu. Ada yang bermain muzik sambil menadah topi. Ada juga, yang terbaring, dengan tubuh penuh luka, mengharap secebis kasih sayang. Oh, dunia memang sebegini.

Alam ini memang seimbang. Jika ada yang ketawa, pasti ada juga yang menangis. Jika ada yang kaya, pasti ada juga yang miskin. Nasir memerhatikan semua ini dengan pandangan yang sayu. Kadang-kadang kasihan, kadang-kadang terganggu juga. Manusia, begitulah. Melihat yang indah saja yang ia mahu. Keluar yang jelek, terus dipaling wajah ke arah yang lain. Sesekali, dihulur juga not kertas buat yang bertuah.

Jika dulu Nasir berpegang pada prinsip bahawa selagi pengemis dihulur wang, selagi itu ia tidak akan maju. Tapi kesedaran tentang kesusahan insan-insan di bumi membuat Nasir merubah pemikirannya. Memang, pengemis itu umpama parasit yang mengharap manfaat tanpa bekerja, namun bagi Nasir, dirinya sudah terlalu bertuah, apalah sangat jika dia membantu pengemis-pengemis ini. Sekurangnya dia sudah menyumbang untuk mereka. Apa mereka mahu buat selepas itu, itu antara mereka dengan Tuhan. Bak kata Gibran, syiling emas yang dihulur kepada tangan yang menadah, adalah umpama jambatan yang menghubung kita dengan-Nya.

Kesibukan di sekitar Wisma Yakin menggamit kembali ingatan Nasir kepada Nita. Pertemuan mereka yang bermula di depan SOGO, akhirnya terbawa ke Pustaka Indonesia. Nita yang ketika itu pertama kali ke sini, memang kelihatan agak janggal. Maklum saja, apa yang Nita boleh cari di sini? Buku? Apa yang menarik dengan buku? Jika buku di kuliyah pun Nita tinggalkan, apatah lagi buku-buku ar-Rumi, Rendra, Pramoedya. Siapa mereka semua?

Suasana suram di Pustaka Indonesia petang itu menambah sayu di hati Nasir. Segala yang ada di sini, membawa ingatannya kepada Nita. Kenapa susah benar untuk Nasir melupakan Nita? Sudah lama Nita tidak menghubungi Nasir. Sampai bila Nita? Hati kecil Nasir berbisik...

Pustaka Indonesia sememangnya merupakan tempat untuk Nasir mencari ketenangan dari kesibukan dunia. Melihat buku-buku, menimbul ghairah di hati Nasir. Nasir sememangnya teruja melihat buku-buku yang tersusun kemas di rak-raknya. Paling depan, buku-buku tentang akhir zaman. Kemudian jihad, dengan wajah Imam Samudera paling menonjol. “jika ada yang mempersoalkan jihadku”. Wah, tegas bunyinya. Namun Nasir agak tidak berminat untuk membaca buku sebegini. Selepas itu ada pula buku-buku sastera. Rak yang paling digemari Nasir. Paling atas, buku-buku terjemahan. Di tengah-tengah buku-buku Chairil Anuwar. Paling bawah, buku-buku Hamka. Namun Nasir agak hampa kerana buku-buku Hamka tiada yang baru.

“Di Indonesia buku-buku Hamka sudah tak dikeluarkan lagi. Yang adapun Cuma Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah.” jawab penjaga bila ditanya Nasir.

Lebih ke belakang lagi, ada rak Pramoedya, Rendra. Di sebelah kiri dipenuhi buku-buku falsafah. Islam Liberal. Sufi. Sebelah kanan pula ada rak khas buat al-Qardhawy. Banyak juga buku-buku yang mencurigakan pada akal Nasir. Contohnya, buku yang membela Siti Jenar. Manusia yang dihukum bunuh oleh Wali Songo. Kisahnya mirip kisah al-Hallaj. Namun selagi tak membaca, selagi itu Nasir tak berhak memberi sebarang komen. Biarlah dulu, nanti ada peluang, akan dibaca semua.

Tapi malangnya petang itu buku-buku ini umpama mengejek kesepian dalam jiwa Nasir. Semenjak konflik dengan Nita bermula, Nasir sentiasa tidak tenang. Ke sana resah, ke sini gelisah! Masih terngiang-ngiang di telinga Nasir. Masih jelas kelihatan di mata Nasir bagaimana pada hari itu Nita satu-satu bertanya tentang buku-buku di situ. Dan sememangnya Nasir telah mebuat satu kesilapan dengan membawa Nita ke sini kerana hingga sekarang, semangat Nita masih ada dan kerana itu, hati Nasir bergolak!

Kadang-kadang Nasir cuba mencari Tuhan. Tapi, akalnya bertanya seakan mengejek. Kau mahu mencari Tuhan? Lupa engkau yang engkau pernah berkata agama itu cuma candu? Dalam setiap pencarian, akal Nasir sentiasa menang. Kerana itu, bagaimana dicuba, ketengangan tak juga kunjung tiba. Umpama sibuta kehilangan cincin di malam gelap.

“Nasir memang berani lah.” Nasir terkenang kembali persoalan-persoalan Nita.

“Berani? Maksud Nita?”

“Ya lah, Nita tengok tulisan-tulisan Nasir, semua menentang kerajaan. Nasir tak takut?”

“Apa yang nak ditakutkan? Kan kita ada kebebasan untuk bersuara. Gunalah sebaiknya.”

“Haritu Nita tengok gambar Nasir semasa demonstrasi. Kenapa Nasir sanggup ambil risiko? Kalau kena tangkap? Tak susah?”

“Haha. Hidup segalanya ada risiko. Tapi risiko itu nampak kecil, jika kita percaya dengan apa yang kita perjuangkan.”

Ah... celaka betul bila hati diselubungi kenangan semalam. Nasir ke sana ke mari. Tak mampu lagi Nasir mencari ketenangan di sini. Nasir keluar, bertembung dengan penjaga Pustaka Indonesia. Masing-masing berbalas senyum.

Keluar dari Wisma Yakin, Nasir melihat suasana sibuk di bazar Masjid India. Azan berkumandang. Nasir melaju langkah. Perut menjerit minta diisi. Namun Nasir biarkan saja. Selera sudah dimatikan oleh hati yang tidak tenang. Nasir berjalan dan terus berjalan. Tiada hala tuju. Ke mana yang ia mahu, ke situ ia membelok. Umpama layang terputus tali. Umpama lalang ditiup angin.