Rabu, Disember 8

Bahagian 10 - Cinta & Cahaya

Cinta takkan wujud dengan sendirinya. Seperti panah yang berbusur dan bersasaran, maka begitulah juga cinta. Cinta akan wujud jika ada dua jiwa, dua jasad, dua keadaan yang berbeza. Cinta seorang manusia kepada dirinya sendiri, tidaklah boleh dikatakan sebagai cinta dengan erti yang sebenarnya. Kerana cinta itu perlu dinikmati, perlu dirasai, perlu dijiwai dan paling penting, ia perlu menjadikan orang yang bercinta itu seperti cahaya, bisa menerangi jiwa-jiwa lain.

Begitulah gerangannya Nasir. Perasaan cinta yang ada dalam dirinya, tidak wujud kalau tidak kerana Nita. Kerana Nita lah, Nasir mula merasai satu perasaan yang tak pernah dirasainya sebelum ini. Perasaan yang tak mungkin bisa dirungkai dengan kata-kata. Bagaimana mahu dirungkai dengan kata-kata bilamana perasaan itu hanya mahu kekal dalam hati. Ke otak pun ia tidak mahu. Kerana itu lah orang bercinta hanya mengikut gerak hati, jarang mengikut kata akal.

Nita, sampai bila nak mendiamkan diri?

Bisik hati Nasir.

“SOGO! SOGO!” jeritan konduktor bas mengejutkan Nasir dari lamunan.

Seperti biasa, tiba hujung minggu, Nasir akan menaiki bas ke SOGO. Dari SOGO, Nasir akan berjalan kaki ke tempat kegemarannya, Pustaka Indonesia. Tidak lah berapa jauh jarak sekadar 15 minit perjalanan. Nasir turun dari bas berjalan menuju ke gerai akhbar di depan Kompleks Pertama. Mahu beli akhbar. Tidak seronok jika tidak membaca akhbar. Lebih-lebih lagi dalam suasana negara yang menarik. Di sini lompat, di situ lompat, di sana pilihan raya. Macam-macam.

Selesai membayar, Nasir memasukkannya ke dalam beg sandang yang selalu menemaninya ke mana-mana. Mudah untuk menyimpan barang. Kata Nasir bila ditanya kenapa.

Dari kejauhan, Nasir melihat seseorang yang dikenalinya.

Diakah? Ahh.. Tak mungkin.

Nasir menggosok-gosok mata yang sudah rabun.

Memang dia!

Sambil tersenyum, Nasir melajukan langkah menuju susuk tubuh tadi.

“Assalamualaikum.” Sapa Nasir sambil menguntuk senyum.

“Eh, Nas!” balas manusia itu.

“Amboi, terkejut sangat nampak, sampai salam pun tak jawab.” Nasir mengusik.

“Nas buat apa kat sini?”

“Eh, ini kan negara demokrasi. Ikut suka la nak pergi mana.” Nasir makin mengusik. “Nita nak pergi mana?” tanya Nasir.

Itulah pertama kali Nasir bertemu Nita sejak terpisah selepas tamat Program Asasi. Dan itu lah yang pertama dan terakhir.

“Alah, orang perempuan, nak pergi mana lagi, Jalan TAR lah.” Balas Nita lembut.

“Buat apa?” tanya Nasir lurus.

“Buat apa lagi kalau pergi Jalan TAR kalau tak borong tudung!” Nita membalas lagi sambil ketawa melihat lagak Nasir yang seolah tak tahu apa-apa.

“Oh.. Seorang je? Mana lagi kawan yang lain?” Nasir mengubah topik.

“Kalau jalan tak ada kawan tak boleh ke?” Nita bertanya kembali.

“Tak lah. Orang perempuan kan suka ramai-ramai..”

“Saja, nak rasa juga jalan sendirian. Boleh layan perasaan.” Kata Nita. “Nas nak ke mana? Rajin keluar hujung minggu?”

“Nas nak pergi kedai buku kejap. Nak ikut?”

“Amboi, ajak anak dara orang jalan-jalan. Dah pandai sekarang ek?” Nita mengusik lagi.

“Haha. Habis tu? Tak kan nak jalan-jalan dengan mak janda?”

“Hrmmm boleh jugak. Nita pun tak ada hal hari ni. Dekat mana kedai tu?”

“Dekat Wisma Yakin. Dekat Jalan Masjid India. Agak tersorok kedai tu. Tak popular pun.”

“Ek? Kalau tak popular macam mana Nas boleh tahu pulak?” soal Nita.

“Ada la cable-cable. Haha” Nasir berseloroh.

“Jom lah, nanti lewat pulak” sambung Nasir.

Pustaka Indonesia memang kurang popular. Tidak segah kedai seperti MPH, Borders dan Kinokuniya. Lokasinya pun tersorok dari pandangan luar. Jika tidak rajin mencari, memang selamanya tak akan jumpa toko buku ni. Maklum saja, siapa yang akan ke Wisma Yakin? Mahu cari apa? Kerana itu, hanya ulat buku yang tahu kedai sebegini. Kedai yang sering dipandang sebelah mata dek kerana tidak segah gedung buku yang lain. Uniknya kedai ini, kebanyakan buku, sesuai dengan namanya, datang dari Indonesia. Buku-buku yang bagus, namun tidak terdapat di kedai lain. Dari karya-karya falsafah al-Ghazali, Abu Hassan al-Asy’ari hinggalah ke karya-karya sastera Chairil Anwar dan Khalil Gibran. Semua dari Indonesia, yang memang gah dengan budaya penterjemahan.

Di sinilah kurangnya Bahasa Melayu jika dibandingkan dengan Bahasa Indonesia. Para akademia di Indonesia sangat cinta akan bahasa mereka maka mereka merasa terpanggil untuk menterjemah karya-karya hebat ke dalam bahasa mereka. Hasilnya, warga Indonesia, walau tak mampu berbahasa Arab, Parsi, Urdu, Inggeris, tetap mampu mencedok ilmu yang tak ternilai ini hasil usaha penterjemahan. Jika dilihat di Malaysia, usaha penterjemahan sangat lemah. Akibatnya, lahir dasar seperti PPSMI yang sangat aneh bagi Negara yang sudah 50 tahun mencapai kemerdekaan. Kita punya bahasa yang hebat, namun malang tidak punya ramai akademia yang merasa hebat berbahasa Melayu.

“Nas ni pelik lah.” Pertanyaan Nita mengejutkan lamunan Nasir.

“Pelik?” Nasir kehairanan sambil mengedutkan dahi.

“Ya, pelik. Tengok buku-buku ni, mana ada lagi orang nak baca buku macam ni.” Jawab Nita sambil mengangkat karya Chairil Anwar.

Nasir tersenyum mendengar luahan Nita. Memang begitulah kebanyakan remaja hari ini. Hanya berminat dengan karya-karya penulis kontemporari. Kalau klasik pun, yang dikenal cuma Shakespeare. Tidak pelik jika kita tidak menemui seorang remaja yang mengenali nama-nama seperti Chairil Anwar, Pramoedya, Hamka, Tongkat Warrant dan lain-lain nama besar dunia kesusasteraan Nusantara.

“Buku sebegini, walau tak ada orang nak baca, tetap agung sepanjang zaman. Hanya yang tahu yang akan menghargai buku sebegini. Nita tahu, penulis sebegini menulis lebih kerana cinta akan bangsa, bukan cinta akan duit. Kerana itu, membaca karya mereka seperti mendengar mereka sendiri yang bercerita. Semangat itu ada!” hujah Nasir.

“Siapa yang ajar Nas baca buku-buku macam ni?”

“Hamka.” Balas jawapan Nasir.

“Hamka? Macam mana Hamka pulak yang ajar Nas? Dia kenal Nas ke?” Nita terpinga-pinga.

“Haha.. Nita ni lurus betul.” Nasir tersenyum melihat gelagat Nita.

“Cepatlah Nas, Nita tanya betul-betul ni!” Nita memanjangkan muncung.

“Semasa di Asasi dulu, Nas membaca karya Hamka, Di Bawah Lindungan Kaabah. Sungguh mengagumkan! Tak pernah, sepanjang 18 tahun Nas hidup, Nas membaca buku yang sebegini hebat. Setiap patah ayat mencetuskan rasa kagum Nas kepada Hamka. Sejak dari itu, Nas mula ketagih dengan karya-karya Hamka. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Merantau Ke Deli, dan banyak lagi novel-novel Hamka yang melemaskan Nas. Sejak itulah, Nas mula berminat untuk membaca buku-buku kesusasteraan. Dari Hamka, Nas beralih pula pada penulis lain seperti A. Samad Said, Usman Awang, Nizami, Chairil Anwar, nama-nama besar! Dan kerana buku Di Bawah Lindungan Kaabah juga lah, Nas tidak lagi memandang rendah pada sastera Melayu.”

“Oh, patutlah..” perlahan Nita bersuara.

“Patulah apa?” tanya Nasir.

“Dulu Nas pernah kan, tulis puisi di Friendster? Menarik, Nas buat sendiri?”

“Ya, selepas diilham oleh penulisan Hamka. Sejak dari itu juga, Nas mula sedikit-sedikit belajar menulis puisi.”

Sebenarnya, bukan Nasir sahaja yang terkena dengan penangan Buya Hamka, malah Sasterawan Negara, Pak Samad juga pernah mengakui bahawa karya Buya, Di Bawah Lindungan Kaabah, adalah antara buku yang paling mengharu dan memilu hatinya. Malah tiada bandingan. Begitulah, penangan seorang penulis yang juga ulamak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan