Ahad, September 19

Bahagian 9 - Cinta Kah Ini?

Guruh berdentuman di langit senja diiringi hujan lebat membasahi bumi Gombak. Habis baju aku! Getus Nasir. Berjalan kaki dari kuliyah memang sangat memeritkan apabila hujan turun. Lebih-lebih lagi bila yang di tangan adalah buku yang berharga ratusan! Tapi apakan daya, bukan Nasir tidak mahu berkenderaan, tapi keadaan dirinya masih belum mengizinkan untuk dia memiliki sebuah kenderaan untuk menghantarnya ke mana-mana. Tiba di bilik, Nasir segera membersih diri dan menyediakan Nescafe panas buat menghangatkan badan dari kesejukan hujan. Sambil menghirup Nescafe, Nasir membuka laptop. Ahhh... Hujan-hujan begini line mesti sangkut. Sekali lagi Nasir mengeluh mengejek hujan.

Setelah berkali-kali mencuba, line internet tetap tergendala. Nasir putus asa, dan menolak ke tepi laptop. Baca buku bagus juga. Nasir membelek-belek buku-buku yang ada di rak. Dicapainya buku “Dari Perbendaharaan Lama” karya Buya Hamka. Dibelek-belek dengan bersahaja. Sudah dibaca buku ini lama dahulu, sejak di Asasi Undang-Undang lagi. Nasir membelek-belek hingga sampai ke satu bahagian, begini kata Buya Hamka, “Tidak akan hilang Melayu di dunia. Melayu tetap, berseri, berpalun dan berpilin dalam jiwa kita, kita pupuk dalam Indonesia yang merdeka, kita pupuk dalam Malaysia yang merdeka!”

Nah, dalam sekali maksudnya. Kesal rasanya apabila insan seperti Buya Hamka ini tidak banyak lagi hidup di zaman yang penuh kekeliruan ini. Insan yang berfikir jauh seperti Buya Hamka sangat berguna, dalam menilai kembali hubungan antara Indonesia dan Malaysia. Sudah banyak kali tercetus ketegangan antara dua negara. Negara yang hampir bersatu di bawah panji Sang Saka Merah Putih dengan nama Melayu Raya. Nasir sering mengeluh melihat angkuhnya manusia yang lupa akan sejarah asal-usulnya. Indonesia dan Malaysia itu bersaudara, kenapa perlu bersengketa? Mujurlah, hanya segelintir yang ekstrim dalam mencabar keteguhan tali persaudaraan antara dua negara serumpun sebangsa ini.

Nasir letak kembali buku di rak. Sambil memandang ke luar jendela memandang air yang hampir memenuhi longkang, ingatan Nasir kembali kepada peristiwa yang berlaku dulu. Peristiwa yang agak memberi bekas dalam hatinya.

Nasir ketika itu baru tiba di UIA. Masih belum punya rakan. Dan kesunyian hidup bersendirian membawa Nasir kembali kepada kenangan di Asasi Undang-Undang. Setahun bersama, akhirnya semua rakannya membawa haluan masing-masing. Ada yang memilih ke Universiti Malaya, ada yang akur membawa diri ke Universti Utara Malaysia. Semua sudah tidak bersama. Dan Nasir, entah mengapa, memilih untuk ke UIA. Dan di UIA, tidak ramai rakannya dari kalangan Asasi Undang-Undang.

Dan dari kesunyian ini, Nasir cuba untuk menghubungi kembali rakan lamanya, Nita. Nita dan Nasir berkawan rapat. Namun “lost contact” seketika ketika dalam kekalutan untuk mengurus diri untuk ke menara gading. Ketika di UiTM dulu, mereka sering bersama menyiapkan tugasan yang diberi. Mereka seperti kekasih, kata rakan-rakan. Namun bagi Nasir, Nita hanyalah rakan. Walaupun begitu, tanpa pengetahuan Nasir, Nita menyimpan perasaan terhadapnya. Namun apa boleh buat, Nita agak malu untuk meluahkan perasaannya kepada Nasir. Dan mereka kekal berkawan sahaja hinggalah tamat pengajian di UiTM.

Nasir mula menghubungi Nita dengan mengucapkan selamat hari jadi kepadanya. Alangkah sukanya Nita, apabila menerima ucapan dari Nasir, lebih-lebih lagi Nasir adalah yang pertama. Dan sejak dari itu, hubungan antara mereka terjalin kembali. Dan dari rakan, naik pula kepada rakan baik. Bagi Nasir, tidak pernah di merasa dekat dengan seorang gadis, seperti hari ini. Jika di UiTM dahulu dia menganggap hubungannya sekadar rakan kuliyah, sekarang, lain yang dirasanya. Adakah ini yang dikatakan cinta? Sering Nasir bertanya soalan ini kepada dirinya sendiri. Dan dirinya sering pula menjawab, “Tidak mungkin Nita akan mencintai orang seperti mu. Kalau ada pun, hanya sekadar cinta seorang rakan kepada rakannya.” Dan pemikiran inilah, yang sering membarah dalam hati Nasir. Membarah kerana seketika dia merasakan bahawa dia mencintai Nita, dan Nita pula mencintainya. Namun seketika pula dia merasakan bahawa tidak mungkin dia dicintai Nita. Namun, seperti kata Hamka, kemustahilan itulah yang membenihkan cinta.

Nasir tidak berani untuk meluahkan perasaannya kepada Nita, bimbang jika cintanya ditolak. Dan kerana rapatnya mereka, mereka sering juga berkongsi masalah. Dari masalah biasa, masalah kuliyah, hinggalah ke masalah berkaitan hati.Dan Nita lah yang sering membawa permasalahan hati ke penghadapan Nasir. Nita sudah pernah punyai kekasih hati. Namun kekasih hatinya ini, yang walaupun kini sudah bergelar “ex”, seolah tidak mahu berhenti menyusahkan hidup Nita. Boleh dikatakan setiap dua minggu, ada saja salahnya Nita. Dan sikapnya yang suka mengkeji mematahkan hati Nita dan sering pula memeras air matanya. Dan Nasir, sebagai seorang rakan, setia menemani Nita mendengar segala luahan hatinya. Nasir sering juga menasihati Nita walaupun dia sendiri tidak pernah menghadapi situasi sebegini.