Isnin, Mac 22

Bahagian 6 - Gegar Sudut Pidato!

“Esok jangan lupa, gegar sudut pidato!”

Tiba-tiba terngiang di kepalanya pesanan seniornya, Muhsin. Muhsin seniornya yang masih menghargai bakatnya. Jika kebanyakan ahli Kelab Cegah Mungkar (KCM) semakin menjauh, Muhsin tetap percaya pada Nasir. Buktinya, esok Nasir diberi peluang untuk menggegar pentas sudut pidato. Sudut pidato di UIA ini panjang sejarahnya. Dulu pernah ada, tapi diharamkan. Kini dibuka kembali. Semua kerana pindaan AUKU. Namun di awal pembukaan semula dulu sudut pidato ini agak hambar. Hanya isu umat sahaja yang dilaung. Maklumlah, universiti antarabangsa. Perlulah pidato yang berputar atas isu umat seantero dunia. Tapi ini sememangnya bukan taste KCM dan aktivis mahasiswa lain. Mereka mahu lebih! Dan tidak juga mereka punya masa untuk meneliti peraturan dan garis panduan sudut pidato ini. Bagi mereka, cabar kebebasan semaksimum mungkin. Tidak perlu fikir batasnya. Cakap sahaja. Laung sahaja apa isu pun. Jika Pentadbir tidak suka, itu tugas mereka untuk mengingatkan. Dan dengan sikap dan semangat inilah sudut pidato mulai panas. Nasir masih ingat lagi semasa kecoh isu Himpunan Mahasiswa dulu, ada pihak yang melarang mahasiswa menyertainya atas alasan tidak boleh bercakap tentang politik. Apa lagi, KCM terus membidas dengan menggunakan sudut pidato. Sudut pidato yang mulanya terletak di hadapan Bank Islam, diangkat beramai-ramai. Dijunjung hingga ke hadapan Darul Hikmah. Berbekalkan sebiji hailer, satu demi satu pimpinan KCM berpidato membidas pihak yang kurang ajar menghina mahasiswa itu. Namun tak sampai 30 minit, datang juga pengawal keselamatan menyuruh sudut pidato dihentikan. Suasana yang sudah sedia panas bertukar tegang kerana yang hadir menadah telinga bukan sikit anak, tapi hampir 300 orang. Semua bertambah semangat dicucuk dengan ucapan yang berapi-api. Mahu sahaja mereka menempeleng pengawal keselamatan yang berlagak tu. Namun demi keselamatan bersama, pimpinan KCM akur dan mula mengarahkan hadirin untuk bersurai.

Dan kerana ini, KCM menerima padah apabila tiga pimpinan tertinggi KCM termasuk Hisyam dan Muhsin dikenakan tindakan tata tertib. Kecoh juga dunia mahasiswa ketika itu. Dan menteri yang sepatutnya menjaga kebajikan mahasiswa hanya diam membisu. Tak mahu campur tangan dalam urusan universiti katanya. Tapi itu sedikitpun tak mematahkan semangat mereka. Malah semakin rancak pula mereka berpidato. Dari isu lubang tandas sampailah kepada isu cukai. Semua isu mereka sapu. Semua pidato dibuat atas pentas mahasiswa, bukan kerana pengaruh mana-mana pihatk. Dan kerana peristiwa ini, bertambahlah kagum Nasir kepada Hisyam dan Muhsin.

Dan esok sudut pidato akan bergema lagi. Isu yang akan dibincang adalah mengenai Goods & Service Tax yang hangat diperkatakan sekarang. Orang sudah dengar kata kerajaan. Sudah pula dengar kata pembangkang. Kini giliran mahasiswa pula menyuarakan pandangan mereka. Dan Muhsin beriya-iya mahu Nasir menjadi salah seorang pemidatonya. Walaupun tak disenangi oleh ahli KCM yang lain, Muhsin tetap bertegas. Dia malah mengugut untuk tidak turut serta dalam sudut pidato itu. Mengingat pada kehebatan Muhsin berpidato terpaksalah KCM akur dengan desakan Muhsin. Nasir juga menolak sebaik diberitahu oleh Muhsin. Namun dengan tegas Muhsin mengingatkan, “Ini perintah, bukan jemputan.” Terdiam Nasir. Nasir memang tak sanggup untuk membantah Muhsin. Dia sangat menghormati Muhsin sebagai salah seorang yang telah banyak membantunya. Terpaksalah Nasir terima saja pelawaannya. Fikir Nasir, ada baiknya dia turut serta esok. Bolehlah dia menyampaikan idea yang sudah bersawang dalam otaknya. Namun satu sahaja yang merisaukan Nasir, apa agaknya reaksi ahli KCM yang lain apabila melihatnya berpidato di sudut pidato yang cukup sinonim dengan KCM itu? “Ah, itu pentas mahasiswa, bukan KCM punya!” Nasir cuba memujuk hati.

Nasir cuba memejam mata namun segar benar rasanya malam ini. Jam sudah 3 pagi. Dipusing kiri, tidak kena. Dipusing ke kanan, kekok. Akhirnya Nasir bangun, dibuka kembali lampu di meja studynya. Dicapainya novel “Laila Majnun” yang dibelinya di Fajar Ilmu Baru dulu. Nasir memang menggemari karya-karya sastera klasik. Lebih-lebih lagi yang berasal dari dunia padang pasir. Dan Laila Majnun bagi Nasir merupakan salah satu karya agung terbaik pernah dibacanya. Membaca edisi terjemahan sahaja sudah cukup untuk menggetar jantungnya, bagaimana agaknya jika dia sudah mampu membaca dalam bahasa asalnya kelak. Dibeleknya satu persatu muka surat. Sampailah ke satu bahagian, dibaca dengan penuh debaran, “Aku adalah rembulan dan kau adalah matahariku yang memberiku cahaya dari kejauhan. Maafkan aku karena lintasan orbitku berbeda dengan lintasan orbitmu, sehingga membuatku jauh dari mu selalu...”

Tak tahu lah kenapa tiba-tiba berdebar hatinya tatkala satu persatu perkataan itu dibacanya. Tiba-tiba teringat Nasir pada Nita, buah hatinya. Sudah dua hari Nita merajuk dengannya. Semua gara-gara prasangka Nita terhadap Nasir. Apa tidaknya, Nasir yang hari ini sudah bukan Nasir yang dulu lagi. Sudah banyak perubahan pada diri Nasir. Nasir juga seakan sudah bosan dengan Nita. Itulah yang didakwa Nita. Dan tanpa sempat Nasir membela diri, terus Nita menjatuh hukum. Dan pada masa malam yang sunyi begini lah ingatan Nasir kuat benar kepada Nita. Sudah banyak kali dia cuba menghubungi Nita. Namun keras hati perempuan, batupun pecah. Nita tetap membisu. Memang marah benar Nita. Tidak pernah sebelum ini Nasir menerima pemulauan yang sebegini.

Nasir terus melayan perasaan. Tanpa disedari, terlelap juga dia di meja study...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan