Rabu, Mac 24

Bahagian 7 - Nas Yang Tu Dah Mati!

“Sir, bangun Sir. Dah lewat ni. Kau tak nak pergi kelas ke?” suara Syukur memecah keheningan pagi. Mengejutkan Nasir dari tidur yang singkat.

“Kelas? Kelas apa pulak?”

“Kau dah lupa? Kan hari ni Dr. Hassan nak buat kelas ganti. Dah, pergi mandi cepat. Aku tunggu kau di kelas.”

“Ah.. malas lah aku nak pergi. Kau kirim salam je dekat Dr. Hassan tu.”

“La dia ni. Kau tak takut kena bar ke?”

“Aku baru ponteng 3 kali kelas orang tua tu...”

“Lantak kau lah.”

Syukur keluar meninggalkan bilik. Syukur adalah teman sebilik Nasir. Dialah antara yang terawal sedar perubahan pada diri Nasir. Mereka berdua memang rapat. Namun mereka agak kontra. Kalau Nasir gila beraktivisme, Syukur langsung tak peduli itu semua. Tapi itu bukanlah halangan kepada persahabatan mereka.

Nasir terus baring di katil. Terasa empuk sungguh katil buruk di pagi begini. Tiba-tiba Nasir teringat pada Nita. Dicapainya handphone, terus dipanggil Nita. Ingin dia mencuba nasib. Mana lah tahu terbuka hati Nita untuk memaafkannya. Lagipun tak kan Nita nak merajuk dengan dia lama-lama.

Lama juga masih belum bersahut. Nasir sudah putus asa pabila terdengar di hujung sana,

Hello?” akhirnya Nita jawab juga panggilan Nasir.

“Kenal saya lagi?” Nasir cuba bergurau.

“Tak kenal. Awak ni siapa?”

“Ala, saya Nasir, yang kacak tu..”

“Eleh, puji diri sendiri.”

“Hehe... Balas jugak ya Nita panggilan Nas... Ingat dah tak kan jawab lagi dah... Nita merajuk lagi dengan Nas?”

“Tak.. Nita dah penat merajuk.. Tak ada makna apa-apa kalau Nita merajuk sampai mati pun... Ni call pagi-pagi, tak ada kelas?”

“Ada. Kelas ganti. Tapi malaslah...”

“Laa, kenapa malas-malas ni?”

“Tak sedap badan lah.”

“Tak sedap badan? Habis macam mana nak berpidato nanti?”

“Pidato? Macam mana Nita tahu?”

Hello, I have Facebook too, okay? Dah keluar iklan..”

“Pidato tetap terus walau apa pun. Merangkak pun Nas sanggup!”

“Nas....”

“Ya?”

“Nas tak takut ke nak terlibat dengan benda macam ni?”

“Kenapa nak perlu takut?” Nasir mula kehairanan.

“Nas kan under scholarship? Nanti kalau kena gantung, macam mana? Siapa yang susah?”

“La, apa pulak kaitan biasiswa dengan apa yang Nas buat ni?”

“Kan dah jelas dalam borang perjanjian yang Nas tak boleh terlibat dalam politik? Nas, sabar lah, belajar dulu! Nita risau!”

“Apa yang Nita risaukan? Nita takut Nas kena buang? Takut biasiswa Nas ditarik balik? Kalau mereka nak tarik, biarkan! Ingat Nas lapar sangat dengan biasiswa tu? Apa, Nita ingat bila Nas terima biasiswa ni, maknanya Nas setuju untuk jadi kuli batak mereka? Buat apa saja yang mereka nak?”

“Tapi....”

“Apa tapi lagi? Biasiswa ni bukan alasan untuk Nas berhenti berjuang bersama mahasiswa!”

“Tapi kan mereka yang tanggung segala perbelanjaan Nas? Hormatlah mereka sikit, jangan jadi orang yang tak mengenang budi!”

“Kenang budi? Nita ingat duit ni duit kerajaan? Nita silap! Ni duit rakyat! Bukan duit mak bapak mereka! Duit ni berasalah dari kertas yang dibuat dari kulit rakyat! Tintanya dari darah rakyat! Air mata rakyat yang melarut tinta itu! Nas belanja duit rakyat, bukan duit kerajaan! Kerajaan dah lama bebankan rakyat dengan macam-macam bebanan! Mereka tak layak nak kata duit ni duit mereka!”

“Tapi Nas, kita ni kan pelajar lagi!”

“Jadi, kalau belajar lagi, kena ikut saja apa yang mereka kata? Angguk saja? Nas bukan ANJING!”

“Nas! Nas sedar tak Nas cakap dengan siapa sekarang ni? Ini Nita, Nas! Nita! Bukan kawan Nas! Ni Nita, kekasih Nas! Betullah apa yang Nita rasa selama ni, memang Nas dah berubah! Nas bukan lagi Nas yang Nita kenal dulu! Mana pergi Nas yang Nita kenal di UiTM dulu? Mana pergi Nas yang sama-sama dengan Nita di Dataran Cendikia dulu? Mana!?”

“Nas itu dah mati! Nas yang tak tahu tujuan hidup, yang hanya tahu berseronok, dah mati! Nas yang terperangkap dalam dunia hedonis remaja itu sudah lama mati, Nita! Nas yang ada sekarang adalah Nas yang tahu apa tujuan hidupnya! Yang tahu bahawa hidup ini untuk berjuang, jadi mahasiswa bukan untuk berseronok di kampus menara gading, tapi untuk berjuang! Berjuang untuk rakyat! Dan memang Nas ini lah yang akan hidup selamanya! Jangan cari lagi Nasi yang lama kerana dia sudah mati! Tak akan hidup lagi!”

“Sampai hati Nas!”

- tuuuuut -

Nita mematikan telefon. Nasir terbaring di katil... Bingung. Kalut. Keliru.

Dan Nita terus bergelinangan air mata...

Isnin, Mac 22

Bahagian 6 - Gegar Sudut Pidato!

“Esok jangan lupa, gegar sudut pidato!”

Tiba-tiba terngiang di kepalanya pesanan seniornya, Muhsin. Muhsin seniornya yang masih menghargai bakatnya. Jika kebanyakan ahli Kelab Cegah Mungkar (KCM) semakin menjauh, Muhsin tetap percaya pada Nasir. Buktinya, esok Nasir diberi peluang untuk menggegar pentas sudut pidato. Sudut pidato di UIA ini panjang sejarahnya. Dulu pernah ada, tapi diharamkan. Kini dibuka kembali. Semua kerana pindaan AUKU. Namun di awal pembukaan semula dulu sudut pidato ini agak hambar. Hanya isu umat sahaja yang dilaung. Maklumlah, universiti antarabangsa. Perlulah pidato yang berputar atas isu umat seantero dunia. Tapi ini sememangnya bukan taste KCM dan aktivis mahasiswa lain. Mereka mahu lebih! Dan tidak juga mereka punya masa untuk meneliti peraturan dan garis panduan sudut pidato ini. Bagi mereka, cabar kebebasan semaksimum mungkin. Tidak perlu fikir batasnya. Cakap sahaja. Laung sahaja apa isu pun. Jika Pentadbir tidak suka, itu tugas mereka untuk mengingatkan. Dan dengan sikap dan semangat inilah sudut pidato mulai panas. Nasir masih ingat lagi semasa kecoh isu Himpunan Mahasiswa dulu, ada pihak yang melarang mahasiswa menyertainya atas alasan tidak boleh bercakap tentang politik. Apa lagi, KCM terus membidas dengan menggunakan sudut pidato. Sudut pidato yang mulanya terletak di hadapan Bank Islam, diangkat beramai-ramai. Dijunjung hingga ke hadapan Darul Hikmah. Berbekalkan sebiji hailer, satu demi satu pimpinan KCM berpidato membidas pihak yang kurang ajar menghina mahasiswa itu. Namun tak sampai 30 minit, datang juga pengawal keselamatan menyuruh sudut pidato dihentikan. Suasana yang sudah sedia panas bertukar tegang kerana yang hadir menadah telinga bukan sikit anak, tapi hampir 300 orang. Semua bertambah semangat dicucuk dengan ucapan yang berapi-api. Mahu sahaja mereka menempeleng pengawal keselamatan yang berlagak tu. Namun demi keselamatan bersama, pimpinan KCM akur dan mula mengarahkan hadirin untuk bersurai.

Dan kerana ini, KCM menerima padah apabila tiga pimpinan tertinggi KCM termasuk Hisyam dan Muhsin dikenakan tindakan tata tertib. Kecoh juga dunia mahasiswa ketika itu. Dan menteri yang sepatutnya menjaga kebajikan mahasiswa hanya diam membisu. Tak mahu campur tangan dalam urusan universiti katanya. Tapi itu sedikitpun tak mematahkan semangat mereka. Malah semakin rancak pula mereka berpidato. Dari isu lubang tandas sampailah kepada isu cukai. Semua isu mereka sapu. Semua pidato dibuat atas pentas mahasiswa, bukan kerana pengaruh mana-mana pihatk. Dan kerana peristiwa ini, bertambahlah kagum Nasir kepada Hisyam dan Muhsin.

Dan esok sudut pidato akan bergema lagi. Isu yang akan dibincang adalah mengenai Goods & Service Tax yang hangat diperkatakan sekarang. Orang sudah dengar kata kerajaan. Sudah pula dengar kata pembangkang. Kini giliran mahasiswa pula menyuarakan pandangan mereka. Dan Muhsin beriya-iya mahu Nasir menjadi salah seorang pemidatonya. Walaupun tak disenangi oleh ahli KCM yang lain, Muhsin tetap bertegas. Dia malah mengugut untuk tidak turut serta dalam sudut pidato itu. Mengingat pada kehebatan Muhsin berpidato terpaksalah KCM akur dengan desakan Muhsin. Nasir juga menolak sebaik diberitahu oleh Muhsin. Namun dengan tegas Muhsin mengingatkan, “Ini perintah, bukan jemputan.” Terdiam Nasir. Nasir memang tak sanggup untuk membantah Muhsin. Dia sangat menghormati Muhsin sebagai salah seorang yang telah banyak membantunya. Terpaksalah Nasir terima saja pelawaannya. Fikir Nasir, ada baiknya dia turut serta esok. Bolehlah dia menyampaikan idea yang sudah bersawang dalam otaknya. Namun satu sahaja yang merisaukan Nasir, apa agaknya reaksi ahli KCM yang lain apabila melihatnya berpidato di sudut pidato yang cukup sinonim dengan KCM itu? “Ah, itu pentas mahasiswa, bukan KCM punya!” Nasir cuba memujuk hati.

Nasir cuba memejam mata namun segar benar rasanya malam ini. Jam sudah 3 pagi. Dipusing kiri, tidak kena. Dipusing ke kanan, kekok. Akhirnya Nasir bangun, dibuka kembali lampu di meja studynya. Dicapainya novel “Laila Majnun” yang dibelinya di Fajar Ilmu Baru dulu. Nasir memang menggemari karya-karya sastera klasik. Lebih-lebih lagi yang berasal dari dunia padang pasir. Dan Laila Majnun bagi Nasir merupakan salah satu karya agung terbaik pernah dibacanya. Membaca edisi terjemahan sahaja sudah cukup untuk menggetar jantungnya, bagaimana agaknya jika dia sudah mampu membaca dalam bahasa asalnya kelak. Dibeleknya satu persatu muka surat. Sampailah ke satu bahagian, dibaca dengan penuh debaran, “Aku adalah rembulan dan kau adalah matahariku yang memberiku cahaya dari kejauhan. Maafkan aku karena lintasan orbitku berbeda dengan lintasan orbitmu, sehingga membuatku jauh dari mu selalu...”

Tak tahu lah kenapa tiba-tiba berdebar hatinya tatkala satu persatu perkataan itu dibacanya. Tiba-tiba teringat Nasir pada Nita, buah hatinya. Sudah dua hari Nita merajuk dengannya. Semua gara-gara prasangka Nita terhadap Nasir. Apa tidaknya, Nasir yang hari ini sudah bukan Nasir yang dulu lagi. Sudah banyak perubahan pada diri Nasir. Nasir juga seakan sudah bosan dengan Nita. Itulah yang didakwa Nita. Dan tanpa sempat Nasir membela diri, terus Nita menjatuh hukum. Dan pada masa malam yang sunyi begini lah ingatan Nasir kuat benar kepada Nita. Sudah banyak kali dia cuba menghubungi Nita. Namun keras hati perempuan, batupun pecah. Nita tetap membisu. Memang marah benar Nita. Tidak pernah sebelum ini Nasir menerima pemulauan yang sebegini.

Nasir terus melayan perasaan. Tanpa disedari, terlelap juga dia di meja study...