Rabu, Januari 20

Bahagian 5 - Siapa Bicara Tentang Revolusi?



Sudah dua minggu Nasir memulaukan aktiviti Kelab Cegah Mungkar. Sudah tiada keinginan lagi dalam diri Nasir untuk aktif dalam KCM. Bagi Nasir lebih baik dia sendirian. Asal bebas bersama ideologi nya. Lagipun sekarang Nasir sudah punya “circle” nya sendiri. Kelompok sepertinya juga. Kelompok mereka yang sudah bosan dengan kemandulan intelektual dalam kalangan ahli gerakan mahasiswa Islam. Mereka terdiri daripada pelajar dari setiap Kuliyah di UIAM. KAED, Econs, IRK, semua ada berkumpul dalam perkumpulan ini. Setiap hujung minggu mereka akan berkumpul untuk berbincang mengenai perkembangan semasa. Di sini lah mereka saling bertukar pandangan, mengasah bakat untuk mengolah idea, menjana pemikiran kritis. Kadang-kadang mereka jemput juga “abang-abang” dari luar untuk sama berdiskusi dengan mereka.

Bagi Nasir tiada yang lebih menggembirakan selain dari duduk berdiskusi bersama mereka. Nasir selalu mengimpikan sebuah perkumpulan seperti Universiti Bangsar Utama. Maka bermula dengan seorang rakan, akhirnya mereka berjaya untuk membentuk satu perkumpulan. Lagak mereka umpama “think tank”. Namun oleh kerana mereka tidak punya pengaruh dalam mana-mana persatuan, maka kewujudan mereka seolah tidak diketahui langsung. Malah dalam kalangan ahli KCM sendiri pun tidak tahu mengenai keterlibatan Nasir dalam perkumpulan ini. Hanya dua tiga senior sahaja yang tahu.

Insiden ditegur itu sebenarnya bukanlah satu nya sebab mengapa Nasir menjauhkan diri dari KCM. Sudah lama sebenarnya Nasir memendam hasrat untuk keluar dari kelompok agama. Cacing kepanasan. Nasir tidak sanggup lagi untuk cuba menjadi alim, lebai semata bagi mendapat tempat dalam politik kampus UIAM. Sedikit demi sedikit, Nasir cuba menjauhkan diri dari KCM. Sikap KCM yang kadang-kadang seperti cawangan Parti Purnama mengecewakan Nasir. Nasir sentiasa berpegang kepada prinsip kebebasan mahasiswa. Nasir tidak suka jika mahasiswa menjadi jurucakap kepada mana-mana parti politik. Bagi Nasir mahasiswa harus bebas untuk menyatakan pendapat mereka tanpa mempedulikan kepentingan mana-mana parti. Namun KCM nyata sekali sering terpengaruh dengan kepimpinan Parti Purnama. Itu yang mengecewakan Nasir.

Nasir juga kecewa dengan sikap ahli KCM yang masih memandang rendah kepada nya semata kerana dia “orang luar”. Malah Nasir juga masih kabur dengan satu lagi organ mahasiswa di UIAM iaitu SATU, singkatan untuk Satu Umat. Organ mahasiswa yang menyatukan pelbagai persatuan di UIAM demi menghadapi pilihan raya kampus. Sikap pimpinan KCM yang seakan tidak berminat untuk menceritakan kepada Nasir mengenai SATU sangat mengecewakan Nasir. Nasir bukan mahu menjadi perisik. Dia sekadar ingin tahu mengenai dunia politik UIAM. Adakah kesetiaan selama 2 tahun kepada KCM masih tidak cukup? Selama 2 tahun Nasir tegar menyertai program KCM, biar yang rahsia atau terbuka, apa masih tidak cukup? Kenapa Nasir masih dianggap orang luar? Ini yang membuat Nasir marah, kecewa dan bosan. Dan peristiwa ditegur pimpinan itu lah yan menjadikan Nasir nekad untuk keluar dari KCM.

Selama dua minggu, Nasir langsung tidak berhubung dengan rakan-rakan KCM nya. SMS dari naqib nya juga terus dipadam tanpa dibaca. Kuliyah ilmu Fiqh, Sirah, semua sudah dilupakan. Nasir sudah nekad. Tak siapa lagi yang mampu untuk memujuk Nasir.

“Tak ada usrah hari ini?” tanya Rahim, teman sekuliyah Nasir.

“Entah. Aku dah tak ‘join’ mana-mana usrah.” Balas Nasir.

“Apa? Habis tu KCM?”

“Pergi mampus lah dengan KCM. Malas aku nak ambil tahu lagi. Aku dah bosan dengan KCM.”

“Laa, kenapa pulak kau ni. Dulu setia sangat dengan KCM. Sekarang tiba-tiba dah jadi musuh pulak.”

“Aku malas lah nak cakap pasal ni.” Nasir berlalu meninggalkan Rahim yang masih tertanya-tanya.

Pelik budak ni. Rahim memang tak faham sahabat nya yang seorang ni.

Nasir terus pulang ke bilik. Kelas Company Law dia ponteng. Tak ada ‘mood’ lagi nak belajar hari ini. Getus hati Nasir. Nasir menapak sahaja pulang ke mahallah. Malas nak bawa motor ke kuliyah. Lagipun hari ini hanya dua kelas sahaja. Membazir minyak. Kata Nasir apabila ditanya rakan-rakan.

Sampai di Mahallah Ali, Nasir singgah sebentar di kafe. Perut lapar mesti diisi. ‘Moody’ macam mana pun makan tetap makan. Ketika asyik makan, telinga Nasir menangkap perbualan dua manusia di meja sebelahnya. Nasir tak dapat menangkap semua yang mereka perbualkan. Namun perkataan yang jelas Nasir dengar adalah “Revolusi”. Revolusi? Menarik. Tapi kalau sekadar revolusi air liur basi, baik balik tanam jagung. Nasir tersenyum sendirian.

Agak asyik juga dua manusia tadi bersembang. Dan Nasir pula seolah ingin menyertai perbualan mereka. Namun bukan dia kenal pun mereka. Jadi Nasir duduk sahaja di mejanya sambil memasang telinga. Nasi sudah habis. Tinggal air saja buat “eksyen”. Semakin diamati, semakin jelas apa mereka bualkan.

“Kita sekarang dah tak cukup masa. Aku rasa dah sampai masa kita jalankan kerja buat kita untuk peringkat seterusnya.”

“Sabar, jangan gopoh. Kita tak boleh tergesa-gesa. Aku tak mahu rancangan kita gagal. Kita mesti hati-hati. Jangan lepas cakap. Nanti bahaya!”

“Aku tahu. Tapi kalau kita terus dengan rentak sekarang, aku bimbang kita akan terlepas ‘dateline’ kita.”

“Itu aku pun risau. Tapi tak mengapa, aku sudah sediakan ‘plan B’.”

“Apa dia?”

“Nanti, di bilik aku ceritakan. Jangan lupa malam ni datang ke bilik aku. Kita rancang rancangan kita seterusnya.”

“Baik, aku datang.”

“Demi Revolusi!”

“Ya, demi revolusi!”

Kedua lelaki tersebut bangun dan meninggalkan kafe. Nasir termenung sendirian. Apa agaknya yang mereka rancangkan? Tak pernah lagi aku dengan ada grup nak buat revolusi. Nasir bertanya-tanya sendirian. Pertanyaan yang tak mungkin berjawab kerana dia bertanya pada dirinya yang memang tak ada jawapan.

Tiba-tiba Nasir terlihat kelibat rakan-rakan KCM nya. Cepat-cepat Nasir angkat kaki. Malas aku nak tegur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan