Rabu, Januari 20

Bahagian 5 - Siapa Bicara Tentang Revolusi?



Sudah dua minggu Nasir memulaukan aktiviti Kelab Cegah Mungkar. Sudah tiada keinginan lagi dalam diri Nasir untuk aktif dalam KCM. Bagi Nasir lebih baik dia sendirian. Asal bebas bersama ideologi nya. Lagipun sekarang Nasir sudah punya “circle” nya sendiri. Kelompok sepertinya juga. Kelompok mereka yang sudah bosan dengan kemandulan intelektual dalam kalangan ahli gerakan mahasiswa Islam. Mereka terdiri daripada pelajar dari setiap Kuliyah di UIAM. KAED, Econs, IRK, semua ada berkumpul dalam perkumpulan ini. Setiap hujung minggu mereka akan berkumpul untuk berbincang mengenai perkembangan semasa. Di sini lah mereka saling bertukar pandangan, mengasah bakat untuk mengolah idea, menjana pemikiran kritis. Kadang-kadang mereka jemput juga “abang-abang” dari luar untuk sama berdiskusi dengan mereka.

Bagi Nasir tiada yang lebih menggembirakan selain dari duduk berdiskusi bersama mereka. Nasir selalu mengimpikan sebuah perkumpulan seperti Universiti Bangsar Utama. Maka bermula dengan seorang rakan, akhirnya mereka berjaya untuk membentuk satu perkumpulan. Lagak mereka umpama “think tank”. Namun oleh kerana mereka tidak punya pengaruh dalam mana-mana persatuan, maka kewujudan mereka seolah tidak diketahui langsung. Malah dalam kalangan ahli KCM sendiri pun tidak tahu mengenai keterlibatan Nasir dalam perkumpulan ini. Hanya dua tiga senior sahaja yang tahu.

Insiden ditegur itu sebenarnya bukanlah satu nya sebab mengapa Nasir menjauhkan diri dari KCM. Sudah lama sebenarnya Nasir memendam hasrat untuk keluar dari kelompok agama. Cacing kepanasan. Nasir tidak sanggup lagi untuk cuba menjadi alim, lebai semata bagi mendapat tempat dalam politik kampus UIAM. Sedikit demi sedikit, Nasir cuba menjauhkan diri dari KCM. Sikap KCM yang kadang-kadang seperti cawangan Parti Purnama mengecewakan Nasir. Nasir sentiasa berpegang kepada prinsip kebebasan mahasiswa. Nasir tidak suka jika mahasiswa menjadi jurucakap kepada mana-mana parti politik. Bagi Nasir mahasiswa harus bebas untuk menyatakan pendapat mereka tanpa mempedulikan kepentingan mana-mana parti. Namun KCM nyata sekali sering terpengaruh dengan kepimpinan Parti Purnama. Itu yang mengecewakan Nasir.

Nasir juga kecewa dengan sikap ahli KCM yang masih memandang rendah kepada nya semata kerana dia “orang luar”. Malah Nasir juga masih kabur dengan satu lagi organ mahasiswa di UIAM iaitu SATU, singkatan untuk Satu Umat. Organ mahasiswa yang menyatukan pelbagai persatuan di UIAM demi menghadapi pilihan raya kampus. Sikap pimpinan KCM yang seakan tidak berminat untuk menceritakan kepada Nasir mengenai SATU sangat mengecewakan Nasir. Nasir bukan mahu menjadi perisik. Dia sekadar ingin tahu mengenai dunia politik UIAM. Adakah kesetiaan selama 2 tahun kepada KCM masih tidak cukup? Selama 2 tahun Nasir tegar menyertai program KCM, biar yang rahsia atau terbuka, apa masih tidak cukup? Kenapa Nasir masih dianggap orang luar? Ini yang membuat Nasir marah, kecewa dan bosan. Dan peristiwa ditegur pimpinan itu lah yan menjadikan Nasir nekad untuk keluar dari KCM.

Selama dua minggu, Nasir langsung tidak berhubung dengan rakan-rakan KCM nya. SMS dari naqib nya juga terus dipadam tanpa dibaca. Kuliyah ilmu Fiqh, Sirah, semua sudah dilupakan. Nasir sudah nekad. Tak siapa lagi yang mampu untuk memujuk Nasir.

“Tak ada usrah hari ini?” tanya Rahim, teman sekuliyah Nasir.

“Entah. Aku dah tak ‘join’ mana-mana usrah.” Balas Nasir.

“Apa? Habis tu KCM?”

“Pergi mampus lah dengan KCM. Malas aku nak ambil tahu lagi. Aku dah bosan dengan KCM.”

“Laa, kenapa pulak kau ni. Dulu setia sangat dengan KCM. Sekarang tiba-tiba dah jadi musuh pulak.”

“Aku malas lah nak cakap pasal ni.” Nasir berlalu meninggalkan Rahim yang masih tertanya-tanya.

Pelik budak ni. Rahim memang tak faham sahabat nya yang seorang ni.

Nasir terus pulang ke bilik. Kelas Company Law dia ponteng. Tak ada ‘mood’ lagi nak belajar hari ini. Getus hati Nasir. Nasir menapak sahaja pulang ke mahallah. Malas nak bawa motor ke kuliyah. Lagipun hari ini hanya dua kelas sahaja. Membazir minyak. Kata Nasir apabila ditanya rakan-rakan.

Sampai di Mahallah Ali, Nasir singgah sebentar di kafe. Perut lapar mesti diisi. ‘Moody’ macam mana pun makan tetap makan. Ketika asyik makan, telinga Nasir menangkap perbualan dua manusia di meja sebelahnya. Nasir tak dapat menangkap semua yang mereka perbualkan. Namun perkataan yang jelas Nasir dengar adalah “Revolusi”. Revolusi? Menarik. Tapi kalau sekadar revolusi air liur basi, baik balik tanam jagung. Nasir tersenyum sendirian.

Agak asyik juga dua manusia tadi bersembang. Dan Nasir pula seolah ingin menyertai perbualan mereka. Namun bukan dia kenal pun mereka. Jadi Nasir duduk sahaja di mejanya sambil memasang telinga. Nasi sudah habis. Tinggal air saja buat “eksyen”. Semakin diamati, semakin jelas apa mereka bualkan.

“Kita sekarang dah tak cukup masa. Aku rasa dah sampai masa kita jalankan kerja buat kita untuk peringkat seterusnya.”

“Sabar, jangan gopoh. Kita tak boleh tergesa-gesa. Aku tak mahu rancangan kita gagal. Kita mesti hati-hati. Jangan lepas cakap. Nanti bahaya!”

“Aku tahu. Tapi kalau kita terus dengan rentak sekarang, aku bimbang kita akan terlepas ‘dateline’ kita.”

“Itu aku pun risau. Tapi tak mengapa, aku sudah sediakan ‘plan B’.”

“Apa dia?”

“Nanti, di bilik aku ceritakan. Jangan lupa malam ni datang ke bilik aku. Kita rancang rancangan kita seterusnya.”

“Baik, aku datang.”

“Demi Revolusi!”

“Ya, demi revolusi!”

Kedua lelaki tersebut bangun dan meninggalkan kafe. Nasir termenung sendirian. Apa agaknya yang mereka rancangkan? Tak pernah lagi aku dengan ada grup nak buat revolusi. Nasir bertanya-tanya sendirian. Pertanyaan yang tak mungkin berjawab kerana dia bertanya pada dirinya yang memang tak ada jawapan.

Tiba-tiba Nasir terlihat kelibat rakan-rakan KCM nya. Cepat-cepat Nasir angkat kaki. Malas aku nak tegur!

Bahagian 4: Nita Oh Nita



Dalam diam juga Nasir sudah berpunya. Seperti rakan sosialis nya, Nasir tidak sekali-kali merasakan bahawa perjuangannya perlu diselaputi dengan agama. Malah baginya amat menjengkelkan apabila rakan Kelab Cegah Mungkar nya lebih ramai yang hipokrit berbanding dengan yang benar-benar mengamal apa yang ditutur. Konon bercinta cara Islam. Tapi bila datang si dahi licin, menelan air liur jugak. Ptuiih!! HIPOKRASI! Bagi Nasir hipokrit adalah barah. Barah yang menghancur perjuangan. Jadi biarlah aku jadi apa aku suka asalkan aku setia dalam perjuangan. Itu prinsip Nasir.

Buah hati Nasir, bagaimanapun bukanlah seperti Nasir. Nasir hebat, lantang dalam bersuara, peka pada isu semasa. Namun Nita, pujaan hatinya, hanyalah seorang gadis biasa yang ramai dalam masyarakat siswa hari ini. “Happy go lucky”, “hedonist”, tidak gemar berpolitik, tidak ambil tahu isu semasa. Banyak kali juga terjadi salah faham antara mereka. Semua gara-gara akal fikiran yang tak sehaluan. Nasir tekad dalam perjuangannya. Namun Nita tak pernah ingin ambil tahu apa yang Nasir perjuangkan. Pernah juga Nasir cuba untuk mempengaruhi Nita namun semuanya sia-sia. Nita sudah diresapi virus tak peduli. Hidup senang, itu sudah cukup. Apa guna melibatkan diri dalam politik dalam dan luar kampus? Asal bahagia bersama rakan, itu sudah cukup.

Memang ketara perbezaan antara dua insan ini. Umpama langit dengan bumi, minyak dengan air. Nasir hidup sederhana. Makannya di gerai-gerai biasa di tepi jalan. “Shopping” nya di pasar-pasar sempit tanpa penghawa dingin. Bacaannya falsafah, politik, ideologi. Nita pula? Secret Recipe dapurnya, Time Square ruang tamunya, Cecilia Ahern perpustakaannya. Tiada langsung persamaan antara mereka. Namun begitu ketidaksamaan itulah yang sering kali mengikat dua hati menjadi satu. Kadang-kadang Nasir pening juga dengan telatah Nita. Langsung tidak ambil tahu tentang dunia semasa. Ketika gereja dibom, Nita terlopong menyangka terjadi di Afghanistan.

Namun Nasir pasrah. Apa yang boleh dia harapkan dari remaja sekarang? Jika dia ingin mencari pasangan yang sama sepertinya, alamat tidak berpasanganlah dia sampai ke kubur. Nita adalah contoh dari kegoblokan remaja hari ini. Hedonist tanpa batasan. Happy! Happy! Happy! Itu saja yang mereka cari dari kehidupan ini. Jangan jaga tepi kain orang, itu moto hidup. Membaca akhbar hanya di ruangan hiburan sahaja. Maju sedikit belek juga ruangan isu semasa. Itupun jika ada menteri kahwin artis. Itu saja yang mereka fikirkan. Persetan dengan dunia politik. Parti Purnama? Barisan Kebangsaan? Semua bagi mereka hanyalah sekumpulan manusia yang gila kuasa. Mereka tidak fikir bahawa apa yang berlaku di Putrajaya akan memberi kesan kepada mereka. Mereka tak peduli. Tak perlu ambil tahu.

Hadir ke universiti seperti insan lain. Bangga menggelar diri sebagai mahasiswa. Mendabik dada akulah warga menara gading. Tapi mahasiswa jenis apa? Menggugat atau tergugat? Apa guna menggelar diri sebagai mahasiswa jika hanya hadir ke kuliyah pagi, petang, selang seli dengan melepak di kafe, kemudian musim peperiksaan mengurung diri di kolej dan perpustakaan menghafal nota? Nota pula hanya yang dibekalkan pensyarah. Ingin membaca lebih tidak mahu. Tidak masuk sukatan kata mereka. Cukuplah sekadar untuk mencantikkan CGPA. Mencari ilmu demi sekeping sijil. Bukan untuk menguasai ilmu secukupnya. Apa berbaloikah membayar beribu-ribu jika sekadar memperoleh sekeping sijil? Apa aku peduli. Kata mereka.

Tiba musim pilihan raya kampus, mereka juga tak ambil pusing. Hendak mengundi pun malas. Datang peraih undi semua kunci pintu. Buat-buat tidur. Pro-M? Gerak? Apa semua tu? Malas aku nak ambil tahu. Biarlah mereka berebut nak jadi MPP. Aku tak peduli.

Aku tak peduli. Aku tak peduli. Itu lah sajak kehidupan mereka. Lahir ke dunia untuk berhibur. Cari kerja. Kahwin. Dapat anak. Mati. Itu sahaja. Skrip yang sudah mereka atur!

Nasir sabar sahaja. Mungkin bagus juga Nita begitu. Nanti sudah kahwin tidak lah anak terbengkalai di rumah tanpa asuhan. Apa guna ibu bapa hebat beraktivis jika anak di rumah tiada yang terjaga. Tapi sediki sebanyak timbul juga resah dan kecewa di hati Nasir. Dia sibuk menjaja “mahasiswa menggugat” sedangkan orang yang paling rapat dengannya langsung tak mampu dia pengaruhi.

Isnin, Januari 18

Bahagian 3 : Pergi Mampus Dengan Usrah!



“Aku bosan lah. Bosan dengan usrah-usrah semua ni. Asyik-asyik nak buat usrah. Usrah pulak tu bincang benda sama saja. Bosan!”

Luah Nasir. Nasir pelajar tahun 2 di AIKOL, UIAM. Kuliyyah paling panas di sana. Siapa pegang AIKOL, dia lah yang memegang UIAM. Dan sejak sekian lama, Kelab Cegah Mungkar lah yang memegangnya. Begitu lah hebatnya penangan AIKOL dalam politik kampus UIAM.

“Aku tak faham kenapa aku kena hafal doa ini, doa itu, hafal surah itu, surah ini, buat ritual ini, ritual itu, apa faedah nya untuk orang miskin di kota sana? Apa mereka peduli dengan semua ini? Kita nak candui mereka dengan agama? Agar mereka khayal dan lupa pada kesusahan hidup mereka? Hingga akhirnya mereka redha dengan kesusahan mereka? Persetan semua ini!”

“Kau tengok sendiri budak-budak Cegah Mungkar ni. Baca hadis cepat, tapi minta ulas isu semasa diam membisu. Orang macam ni nak gegar Malaysia? Ptuiih!!”

Marah benar Nasir. Mana tidak nya. Dia baru sahaja ditegur orang kuat Kelab Cegah Mungkar. Semua kerana kelantangannya mempersoal usrah Kelab Cegah Mungkar. Tak progresif katanya. Dengan berani juga Nasir menyalahkan usrah lapuk ini atas kelembapan ahli KCM untuk member reaksi kepada isu semasa.

Tulisan di blog itu pada dasarnya biasa saja. Sudah banyak dibuat orang. Maharaja Zhou menghentam usrah PMI di UM. Rausyanfikir mengkritik usrah Rakan Masjid di UTP. Tapi ia menjadi polemik apabila Nasir turut menamakan beberapa individu yang dianggapnya penyebab kepada kelapukan usrah ini. Setelah seminggu berada di laman maya, tulisan itu akhirnya diguna oleh pihak lawan untuk menghentam KCM juga. Akhirnya, kepimpinan KCM ambil tindakan terhadap Nasir.

Kerana itu lah, Nasir marah benar dengan KCM sekarang ini. Siapa mereka untuk mempersoalkan aku? Dan sasaran pertama, usrah KCM.

Nasir bukan calang mahasiswa. Tajam akal, peka isu semasa, bijak dalam strategi. Boleh dikatakan dia lah antara calon untuk menjadi pelapis dalam KCM. Namun semua bukan mudah buat Nasir. Sejak hari pertama lagi sudah mula pelbagai cabaran buat dirinya.

Hadir dari kalangan pelajar “direct intake”, yang bukan dari CFS (Centre of Foundation Study), Nasir sering dianggap orang luar oleh ahli KCM lain. Lebih lagi mereka yang sudah terlibat dengan KCM sejak dari CFS lagi. Latar belakang Nasir yang berpendidikan sekular juga menambahkan lagi jurang nya dengan ahli KCM lain.

Nasir tidak berkopiah. Nasir tidak berjubah. Nasir tidak pandai Arab. Nasir bukan segalanya yang perlu ada bagi ahli KCM. Malah pada mulanya Nasir sendiri tidak berminat menyertai KCM. Agama. Apa boleh agama buat pada masyarakat? Itu idea Nasir. Namun atas nasihat dari rakan rapat nya, Nasir akur juga dan mula belajar menyertai gerakan mahasiswa Islam.

Agak kekok juga Nasir untuk menyertai usrah bersama rakan-rakan lain yang jelas sekali lebai nya. Hari pertama lagi Nasir sudah resah gelisah tatkala rakan lain begitu lancar membicarakan soal agama. As-Syafie, Syed Qutb, al-Banna, semua menjadi buah mulut mereka. Tapi bagi Nasir, siapa mereka itu? Nasir lebih rapat dengan Farish Noor, lebih romantis bersama Guevara. Hishamuddin Rais amir nya.

Lebih malang buat Nasir, seolah dia disisih oleh ahli KCM dari CFS. Sering juga dia tidak menerima undangan ke usrah dan program KCM. Bila minta pertolongan sahaja yang laju. Semua seolah tidak sedar akan kewujudannya. Sakit juga hati Nasir dengan keadaan begini.

Namun Nasir sedar. Di UIAM mana mungkin sosialis sepertinya mampu hidup. Mana mungkin dia dapat bersuara kalau tidak menjadi ahli gerakan islam. Mahu tak mahu, ini sahaja pilihan buat dirinya. Cemburu juga Nasir dengan rakan-rakan di UKM dan UM. Di sana sosialis duduk sama rendah berdiri sama tinggi. Tapi di sini, jauh panggang dari api. Sabar sahaja pilihan Nasir.

Jika benih baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke hutan menjadi gunung. Begitu lah Nasir. Walaupun dia tidak selebai ahli KCM yang lain, potensi kekuatan dirinya tetap tertonjol. Dan itu lah yang menarik perhatian senior dalam KCM. Malah naqib nya juga yakin bahawa Nasir akan menjadi seorang yang penting dalam dunia politik UIAM kelak. Nasir sudah punya kualiti seorang pejuang. Cuma Islami sahaja yang kurang. Ah, itu bukan masalah. Nasir malah sering disamakan dengan al-Walid di zaman kuffarnya. Kehadirannya dalam perjuangan Islam akan membawa makna yang besar. Maka kerana itu lah walaupun setebal mana pun sekularisma dalam diri Nasir, naqib nya tetap bersabar. Masa akan merubah segalanya dan tongkol besi ini akan diasah menjadi pedang!

Pejam celik pejam celik, berjaya juga Nasir mengharungi tahun pertama bersama KCM. Semakin sayang senior KCM terhadap Nasir. Nasir kuat membaca. Semua jenis ilmu ingin dibacanya. Malah kitab jawa kuno juga dia ingin hadam jika berkesempatan. Dan ini yang kadang-kadang dirisaukan oleh senior KCM nya. Bimbang sesat, kata mereka. Dan Nasir cuma tersenyum. Mereka bukan tahu apa yang aku baca. Masakan aku boleh dikatakan akan sesat. Karut. Bisik hati Nasir.

Walaupun hidup bersama KCM, Nasir tetap setia dengan sosialisnya. Nasir kerap menghadiri diskusi bersama rakan-rakan dari UKM, UM. Bersama di hujung minggu menyertai aktiviti sosial bersama. Cina, India, Melayu, semua bersama Nasir. Dan Nasir gembira dengan keadaan begini. Bagi Nasir agama, kaum, bangsa hanya pemisah umat manusia. Mana mungkin dapat menyatukan manusia. Kerap juga Nasir diperli oleh rakan sesosialisnya gara-gara penyertaan nya ke dalam KCM. Tapi Nasir buat bodoh sahaja. Cuba kau masuk UIA dulu tengok apa jadi. Laung Nasir dalam hati kecilnya.

Kualiti yang ada pada Nasir kadang-kadang membawa fitnah kepada dirinya. Sering “rakan-rakan” nya membawa 1001 cerita tidak elok mengenai dirinya. Pernah seseorang membawa cerita konon-konon Nasir ejen HEP untuk menjahanamkan KCM. Pernah juga akhlak Nasir dipersoal. Semua gara-gara laman social Facebook nya yang langsung tidak mencerminkan seorang pejuang Islam. Pejuang Islam dari kaca mata siapa? Dari kaca mata mereka, yang sempit dan kabur.

Namun semakin banyak cerita, semakin sayang pula senior KCM nya kepada Nasir. Sikap bersahaja Nasir dalam menghadapi aneka ragam dunia mahasiswa dikagumi mereka. Kalau aku lah, dah lama aku sekeh budak-budak ni. Luah seorang senior nya. Senior KCM sering husnul zhan kepada Nasir. Malah mereka melayan Nasir sebaik mungkin. Lebih lagi Muhsin, senior KCM yang sekarang sudah bergelar SRC. Muhsin lah yang mula-mula memperkenalkan kepada Nasir mengenai sepak terajang dunia mahasiswa. Dengan latar belakang yang sama sebagai pelajar “direct intake”, Nasir banyak belajar dari Muhsin. Dan Muhsin juga tidak sombong dan lokek ilmu dengan Nasir. Mungkin dia sedar bahawa pelajar “direct intake” memang banyak cabaran. Dan dia sudah merasainya. Dia tidak mahu perkara yang sama berlaku pada Nasir pula.