Sabtu, November 7

Bahagian 2 : Perisik Kelab Cegah Mungkar

hidup revolusi!

Suatu hari, selepas kelas Perlembagaan di AIKOL.

“Hisyam, awak ada dengar pasal isu revolusi?” tanya Prof. Badrul. Terkenal dengan kelantangan menyuarakan pendapat khususnya dalam isu politik semasa.

“Ya, Prof. Memang pastilah saya pernah dengar isu ni. Dah kecoh satu varsiti tentang isu ni. Sana-sini budak-budak bercerita tentang ni. Tak tahu mana asalnya, tiba-tiba dah bertaburan risalah tentang revolusi.” terang Hisyam.

“Awak tak tahu siapa yang memulakan semua ni?”

“Entahlah Prof. Budak-budak pun pelik. Semua berlaku dengan tiba-tiba.”

“Saya ada sesuatu nak cakap dengan awak. Tapi di sini tak sesuai. Jom, kita keluar.”

“Hal apa Prof?”

(Keduanya keluar dari dewan kuliah)

“Awak tahu, sekarang pihak varsiti dah mulakan siasatan tentang isu ni. Dan antara suspek, Kelab Cegah Mungkar.”

“Apa? Tak mungkin lah! Saya duduk dalam majlis tertinggi, tak pernah saya dengar mana-mana AJK sebut hal revolusi ni. Ini semua tuduhan palsu Prof!”

“Itulah yang saya fikir sekarang. Pentadbir, biasalah. Bila timbul isu tentang keselamatan awam macam ni, suspek utama mesti datang dari kelompok agama. Saya dengar selepas ni mereka akan pasang ‘spy’ untuk siasat kegiatan Kelab Cegah Mungkar. Awak perlu hati-hati! Ini bukan hal main-main.”

“Baik Prof. Tapi, dari mana Prof tahu semua ni?”

“Itu awak tak perlu tahu. Saya minta diri dulu.”

(Di Kafe HS)

“Apa? Mereka nak tuduh Kelab Cegah Mungkar buat semua benda tu?”

“Ya, ini yang aku dengar sendiri dari Prof. Badrul. Kalau dia yang bercakap, mesti ada asasnya. Kita mesti buat sesuatu.”

“Mamat jahanam manalah yang duk sibuk nak Revolusi ni. Menyusahkan orang!”

“Sabar, kita perlu rasional. Jangan ikut nafsu. Malam ni, kita buat mesyuarat tergempar. Maklumkan pada AJK yang lain. Kalau boleh dapatkan Ustaz Asri sekali. Isu ni besar, ada baik dia ada sekali.”

“InsyaAllah…”

(Malam itu ketika mesyuarat)

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada anda semua kerana terpaksa mengadakan mesyuarat dalam keadaan tergesa-gesa. Tapi, tujuan mesyuarat ini diadakan bukan untuk membincang hal-hal remeh, tapi hal yang besar. Hal yang melibatkan masa depan Kelab Cegah Mungkar sepenuhnya!”

Hisyam memulakan bicara. Hisyam adalah pengerusi Kelab Cegah Mungkar yang agak kontroversi. Tidak semua setuju dengan perlantikan Hisyam. Tapi oleh kerana tugas ini adalah amanah, Hisyam pikul juga walau ada yang sangsi.

“ Seperti yang tuan-tuan sedia maklum, sekarang ini varsiti demam dengan virus Revolusi. Di mana-mana pun orang sibuk bercakap tentang Revolusi. Dan siang tadi, saya telah dimaklumkan oleh Prof. Badrul bahawa pihak varsiti sudah mula menyiasat tentang hal ini. Dan suspek utama tak lain tak bukan adalah Kelab Cegah Mungkar sendiri. Kita dituduh menjadi dalang kepada kekacauan ini!”

Suasana agak kecoh. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengar. Memang, mereka semua sedia maklum bahawa Kelab Cegah Mungkar adalah kelab paling “lembut” di varsiti. Tapi tuduhan Revolusi ini terlalu besar.

“Dan saya juga diberitahu oleh Prof. Badrul bahawa ada perisik yang dilantik khas oleh varsiti untuk memantau aktiviti Kelab Cegah Mungkar.” Ujar Hisyam lagi.

“Saya tak percaya!” tiba-tiba Hassan mencelah.

“Perkara perisik-perisik ini bagi saya hanya helah untuk memporak-perandakan kita. Cuba tuan-tuan bayangkan. Jika varsiti berjaya yakinkan kita bahawa ada ‘spy’ di kalangan kita, bukankah kita akan jadi ‘paranoid’? Mengesyaki rakan seperjuangan sendiri.Akhirnya, yang rugi Kelab Cegah Mungkar sendiri. Dan kita jangan lupa, varsiti tak pernah berdamai dengan kita. Jangan terperangkap dalam muslihat mereka!” hujah Hassan, Ketua Biro Dakwah.

“Ada betulnya pendapat saudara Hassan tu. Perkara ini rumit, kita jangan gopoh. Pendapat saya, biarlah kita tunggu dan lihat dulu perkembangan sehari-dua ini. Dan pada masa yang sama, cuba elakkan dari melakukan aktiviti yang mencurigakan. Ingat, mereka sudah lama hendak ‘membaham’ kita. Tunggu peluang sahaja.” ujar Ustaz Asri, penasihat Kelab Cegah Mungkar.

Mesyuarat berakhir dengan penuh kekecewaan, kejutan, kerisauan. Hisyam selaku Pengerusi benar-benar terkena dengan ujian ini. Baru dia tahu langit itu tinggi. Dan hujah Hassan tadi juga kerap mengganggu fikirannya. Hassan bukan calang orang. Paling tsiqah di varsiti. Hadis 40 dihafal dan diamal. Kalau lah bukan kerana Hassan tidak hafal 40 teknik mengurus yang baik, sudah tentu Hisyam tak berpeluang untuk duduk di kerusi empuk Kelab Cegah Mungkar.

Sudah sekian lama Kelab Cegah Mungkar berlayar di samudera tanpa kocakan ombak. Namun sekarang bukan sekadar ombak, tapi Tsunami yang akan menggoncang Kelab Cegah Mungkar!

Isnin, November 2

Bahagian 1 : Revolusi?

“Hidup Revolusi! Hidup Revolusi!”

[2013]

Suatu petang di hadapan SOGO….

“Hidup Revolusi! Hidup Revolusi!”

“Sahabat ku sekalian! Ketahuilah oleh kalian bahawa hari ini, saat ini, kita bertemu di dalam satu perkumpulan, dengan satu tekad, satu keazaman, satu kekuatan!”

“Ingat lah, hari ini kita akan bersatu meruntuh kezaliman mereka! Mereka boleh bedil kita dengan meriam-meriam itu! Mereka boleh lemaskan kita dengan tear gas itu! Mereka boleh banjirkan ibu kota ini dengan water cannon itu! Tapi ingatlah! Mereka tak mungkin dapat meluntur semangat revolusi kita!”

“Hari ini, setelah kesabaran kita susun setingkat demi setingkat. Kita susun dengan batu bata masa. Dan sekarang, tiada lagi batu bata yang dapat kita susun untuk membina tembok kesabaran itu. Sabar kita sudah sampai ke puncak! Hari ini kita akan berdepan dengan mereka!”

“Kalau sahabat masih ragu-ragu, putarlah ingatan kalian kepada apa yang berlaku di Semanggi! Ingatlah apa yang berlaku di Trisakti! Ingatlah apa yang berlaku di Tiananmen! Ingatlah Iran! Ingatlah Poland!”

“Kalau mereka yang sebelum kita boleh menghancur kezaliman yang lebih hebat, menunmbang empayar yang rakus, kenapa kita tidak boleh?!”

“Sudah masanya! Hari ini, KITA BERDEPAN MATA BERTEMU MATA! KITA MENANG, ATAU HANCUR SELAMANYA!”

“HIDUP REVOLUSI! HIDUP REVOLUSI!”

(4 tahun sebelum itu, di Darul Hikmah, UIAM)

“Aku tak setuju dengan idea mu tentang revolusi.”

“Apa aku peduli tentang pendapatmu? Revolusi tidak memerlukan persetujuanmu. Bila tiba masa kau juga akan terlibat, suka atau tidak. Revolusi itu umpama sebuah keretapi yang meluncur laju di sebatang lorong sempit. Dan kita, umpama berdiri di tengah lorong sempit itu. Samada kau lompat ke atas keretapi itu, atau bersedialah untuk ke kubur mu. Aku tahu, orang seperti kau tidak minat dengan revolusi. Kau lebih senang, selesa dengan peti undi. Parti Purnama suka orang seperti mu. Tapi aku? Aku sudah hilang percaya pada peti undi. Jika dulu Parti Purnama hamper menang, kau lihat hari ini. Orang sudah makin meninggalkan Parti Purnama. Ini belum sampai 2 tahun! Apakah kemenangan besar Parti Purnama itu, kau yakin akan bertambah? Usah bermimpi sahabat. Barisan Kebangsaan sudah reinkarnasi. Rakyat sudah melupakan kebejatan mereka. Dan mimpi mu untuk melihat mereka dan dasar mereka hancur, hanya tinggal mimpi!”

“Jadi kau yakin idea mu akan berhasil?”

“Untuk revolusi, aku serah 100% kepercayaan dan keyakinan ku!”

“Aaah… Aku malas hendak layan insan seperti mu. Revolusi, revolusi, revolusi. Mudah kau bercakap. Buktikan!”

“Kau akan menyesal sahabat. Kau tunggu sahaja saat revolusi mengetuk pintu rumah mu!”

(Dialog seterusnya berlaku menerusi khidmat pesananan ringkas “SMS”)

- Apa pendapat mu jika aku ditangkap?

- Apa?!

- Apa pendapat mu. Kau faham soalan aku.

- Jangan kau mengarut!

- Aku serius.

- Tangkap kerana apa?

- Revolusi.

- Revolusi???

- Ya, revolusi. Semua orang tahu bahawa rejim Barisan Kebangsaan penuh dengan korupsi. Tapi, hanya sedikit yang dapat dicapai dengan peti undi. Rakyat perlukan perubahan dengan segera. Dan jawapannya hanya revolusi.

- Kau gila? Revolusi dengan ke jalan raya, membuat kacau?

- Turun ke jalan raya lebih baik dari peti undi.

- Aku tak setuju dengan mu. Bagaimana kau akan memobilasi rakyat untuk turun ke jalan raya menyokong mu?

- Aku akan yakinkan mereka betapa bodohnya mereka menaruh harapan pada peti undi. Mereka akan aku yakinkan dengan revolusi.

- Kau memang sudah gila. Apa kau fikir pihak berkuasa akan hanya membiarkan kau melaksanakan kerja gila ini?

- Sudah tentu tidak. Dan aku sudah bersedia untuk menghadapi apa pun. Revolusi itu umpama bom. Bom yang akan menghancurkan kezaliman. Dan mesti ada yang harus berkorban demi untuk meletupkan bom itu.

- Kau sanggup berkorban demi orang lain?

- Ya. Biar aku terkorban, asal kejayaan revolusi ini dapat dirasai semua. 13 mahasiswa diganyang ketika revolusi. Dan kau lihat, Indonesia sekarang merasa manisnya buah revolusi yang tumbuh dengan siraman darah mahasiswa. 13 orang terkorban tak mengapa asal 26 juta rakyat kita berbahagia.

- Tak bolehkah kau menunggu pilihan raya sahaja?

- Tunggu? Aku sudah cukup sabar dengan peti undi. Dan aku tidak akan bazirkan lagi masaku dengan menunggu datangnya perubahan itu. Buah revolusi yang aku citakan ini tidak akan gugur dengan sendiri. Kita HARUS menjoloknya hingga gugur!

- ;-(

- Satu hari nanti kau akan mengerti. Revolusi itu sudah berjalan. Kau harus bersedia.

- …….

(Di surau mahallah Bilal, sesi usrah)

“Cuba adik-adik, sahabat-sahabat fikir. Kita berjuang, berkempen, mengundi berpuluh-puluh tahun lamanya. Tapi, di mana hasilnya? Kasino di Genting tetap memutarkan roulette nya. Blackjack dealer terus melemparkan kad. Carlsberg terus bercahaya megah di Shah Alam. Kalian masih percaya dengan peti undi?”

Soal nya kepada anak usrah. Baginya, anak usrah ini sangat berharga untuk revolusi. Kalau pun bukan sebagai aktor utama, cukuplah jika mereka bersedia mendokongnya apabila tiba masanya.

“Betul juga pendapat abang itu. Tapi bang, kalau bukan dengan pilihan raya, nak ubah kerajaan dengan apa lagi?

Soal anak usrahnya kembali.

“(Tersenyum) Kalian pernah dengar REVOLUSI?”

“REVOLUSI???” terpinga-pinga anak usrahnya seolah tidak menjangka perkataan ini yang akan keluar dari naqib kesayangan.

“Ya. Dan sebagai buah tangan usrah kita hari ini, kalian fikir-fikir lah dalam-dalam tentang kalimat ini.”

Dan dia keluar meninggalkan anak usrahnya dengan satu kepuasan. Langkah pertama sedang berjalan!

[2013]

“TANGAN YANG MAHU MENGGAPAI REVOLUSI MESTI BERSALUT DARAH, AIR MATA, KERINGAT RAKYAT!”

“REVOLUTION IS COMING…”

“REVOLUSI SUDAH HAMPIR”

“HIDUP REVOLUSI!”

Begitulah sebahagian daripada contengan yang kian galak muncul di mana-mana di sekitar varsiti. Entah tangan mana yang gatal menulisnya, tiada siapa yang tahu. Sedar-sedar sudah merata-rata kewujudannya.

Begitu juga di papan-papan kenyataan, sudah muncul risalah-risalah yang ditampal menceritakan perihal revolusi. Bahasanya cukup hebat. Siapa yang membaca pasti terpesona.

Isu ini memeningkan pihak berkuasa varsiti. Bukan setakat isu vandalisme, tapi ini isu keselamatan negara. Seolah sudah muncul gerakan bawah tanah yang bekerja untuk menggerakkan revolusi. Mengguling kerajaan dengan kekerasan. Dan ini bukan isu remeh. Baru-baru ini sahaja seluruh dewan utama Cultural Activity Center ditabur dengan kertas kecil bertulis “revolusi semakin hampir” sehari sebelum berlangsung nya majlis yang dihadiri YAB Perdana Menteri.

Revolusi apa? Angkara Siapa? Pening dibuatnya.

AKHBAR: KEGIATAN BAWAH TANAH DI KALANGAN PELAJAR MEMBIMBANGKAN – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini menyuarakan kebimbangan beliau tentang wujudnya anasir yang tidak baik di kalangan pelajar. Anasir ini disyaki cuba untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan. “Kita akan siasat. Ini perkara serius, bukan main-main.” Beliau ditemui setelah merasmikan majlis rumah terbukan di kediaman rasminya. – Bernama

Bersambung…..